SEKOLAHKU


NAMA SEKOLAH (ASAL-USUL)

SK IPG Kampus Dato’ Razali Ismail dulunya dikenali sebagai SK Maktab Perguruan Kuala Terengganu atau sekolah dalam maktab. Nama tersebut diambil sempena nama Maktab Perguruan Kuala Terengganu dan lokasinya yang terletak dalam maktab itu sendiri. Pada 7 November 2013 secara rasminya nama sekolah ini telah bertukar kepada SK IPG Kampus Dato’ Razali Ismail seiring dengan pertukaran nama Maktab Perguruan Kuala Terengganu kepada IPG Kampus Dato’ Razali Ismail.Nama Dato Razali Ismail diambil sempena ketokohannya dan beliau yang merupakan mantan Pengarah Maktab Perguruan Kuala Terengganu. Sekolah ini merupakan perintis dan satu-satunya sekolah di Malaysia selain SK IPG Perlis, yang berkonsepkan sekolah dalam maktab. Idea asal penubuhan sekolah dalam maktab (Teaching School) dicadangkan dan diperjuangkan oleh arwah Dato’ Razali bin Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran pada masa itu.

      LOKASI SEKOLAH

SK IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, terletak di Kg Wakaf Tengah di jalan laluan utama 3685 Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan. Bertentangan dengannya terdapat Stesyen Minyak Petronas Wakaf Tengah, dan bersebelahan dengannya MRSM Kuala Terengganu. Dalam kawasan IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, bangunan sekolah ini terletak bersebelahan dengan Pusat Bahasa Inggeris IPG (Tell TRAC).


          TARIKH DIBUKA DAN PERASMIAN

SK IPG Kampus Dato Razali Ismail memulakan operasinya pada 1 Januari 2003, dengan pengambilan 50 orang murid untuk dua kelas. Murid-murid yang diambil berdaftar di bawah SK Mengabang Telipot dan SK Kompleks Mengabang Telipot.  Drs Tuan Haji Alias bin Omar, pensyarah pada masa itu mengetuai pengurusan sekolah dengan dibantu oleh dua orang guru.Bangunan baru sekolah dibuka secara rasminya pada 19 Januari 2003 oleh YB Dato’ Hj Razali bin Ismail.


              SEJARAH RINGKAS PERKEMBANGAN SEKOLAH HINGGA KINI.

            Bangunan asal sekolah dalam maktab mula dibina pada 20 Disember 2002 yang mana mempunyai dua buah bilik darjah dan sebuah bilik guru. Ia mula digunakan pada 14 Januari 2003. Arwah Dato’ Razali bin Ismail telah merasmikan bangunan tersebut secara rasmi pada 19 Januari 2003. Pada ketika itu terdapat seorang Guru Besar, dua orang guru dan lima puluh orang murid tahun satu. Murid-murid tersebut berdaftar di bawah SK Kompleks Mengabang Telipot dan SK Mengabang Telipot.

            Pada tahun 2004, sebanyak empat buah bilik darjah telah ditambah sejajar dengan pertambahan murid pada masa itu yang telah mencecah 100 orang. Guru tetap ketika itu seramai tujuh orang dengan dibantu oleh 18 orang pensyarah dan pelajar Maktab Perguruan.

            Dengan kapasiti murid 156 orang, empat buah bilik darjah lagi dibina pada tahun 2005. Tuan Haji Harun Mohamad telah mengetuai sekolah  pada 1 Mac 2005 setelah persaraan Drs Tuan Haji Alias. Akhirnya pada 1 Jun 2005, sekolah dalam maktab secara rasminya telah didaftarkan di bawah Jabatan Pelajaran Negeri  dengan kod sekolah TBA 3103. Seorang Guru Besar hakiki dari JPNT telah dihantar iaitu En Mohamad Kabidi bin Mohamad beserta 12 orang guru tetap. Perjalanan sekolah seperti sekolah biasa dan sekolah selalu bekerjasama dengan para pensyarah dan pelajar maktab.

            Pada tahun 2006, bangunan sekolah ditambah lagi dengan empat buah bilik darjah di bawah pruntukan Bahagian Pendidikan Guru. Guru pada masa itu seramai 21 orang termasuk Guru Besar, seorang Pembantu Tadbir N17 & dan Pembantu Am Rendah N1 dan murid seramai 258 orang. Selain guru, dua orang pensyarah juga terlibat dalam menjayakan proses Pengajaran dan Pembelajaran. Tiga orang guru j-QAF telah memulakan Latihan Perguruan Berasakan Sekolah (LPBS) di sekolah maktab pada 29 Januari 2007 bermula dengan kelas tahun satu.

Jumlah kelas sehingga 2008 telah mencapai 12 buah kelas dengan bilangan murid seramai 313 orang. Dua bangunan yang mana salah satu daripadanya mempunyai dua bilik telah dibina untuk menempatkan kemudahan Pusat Sumber dan Bilik j-QAF. Manakala bangunan satu lagi merupakan sebuah Makmal Komputer untuk kemudahan murid-murid. Seramai 50 orang murid yang merupakan kumpulan pertama yang menduduki UPSR dengan sembilan orang daripadanya mendapat 5A.

Pada 1 Mac 2010, sekolah dalam maktab telah berpindah ke bangunan barunya yang tersergam indah bersebelahan dengan bangunan Pusat Bahasa Inggeris IPG (Telltrac). Di bangunan baru ini segala kemudahan dapat dinikmati oleh warga sekolah sama seperti sekolah lain seperti Makmal Sains, Bilik Kemahiran Hidup, Bilik Seni, Bilik Komputer, Bilik Muzik, Pusat Sumber, Bilik j-QAF, Bilik SALC, Bilik Pemulihan, Pejabat dan Bilik Guru yang selesa, Surau, Kantin, Bilik Persalinan, Bilik BBM, Stor Sukan dan Dewan Terbuka. Bangunan Pra sekolah juga telah dibina berdekatan dengan sekolah yang mana menempatkan dua buah pra sekolah iaitu Pra Sekolah al-Falah di bawah pengurusan IPG dan Pra sekolah SK Maktab Perguruan itu sendiri.

Kelas Pelajar Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) telah memulakan operasi di SK Maktab Perguruan pada 1 Januari 2011 di bilik SALC sehinggalah mempunyai bilik sendiri yang telah siap dibina pada tahun 2012 .Akhirnya SK Maktab Perguruan Kuala Terengganu telah bertukar nama secara rasminya kepada SK IPG Kampus Dato’ Razali Ismail bermula 7 November 2013.

Sehingga tulisan ini ditulis 29 April 2014, SK IPG Kampus Dato Razali Ismail mempunyai 35 orang guru, dua orang Pembantu Tadbir, Seorang Pembantu AM , dan tiga orang Pembantu Pengurusan Murid.

           GAMBAR-GAMBAR BERSEJARAH

Bangunan pertama yang sedang dalam pembinaan. Mula dibina 20 Disember 2003.


Pada 14 Januari 2003, seramai 50 orang murid telah memulakan persekolahan mereka di bangunan ini.


Pada 19 Januari 2003, arwah Dato’ Razali bin Ismail telah merasmikan bangunan baru.

Empat buah bangunan baru bilik darjah telah dibina pada tahun 2004 .


Empat buah bangunan baru bilik darjah telah dibina pada tahun 2005 



Bangunan baru teaching School dalam pembinaan.

                   
Pemandangan dari atas , bangunan sekolah yang siap dibina tahun 2010. 


            KELUASAN KAWASAN SEKOLAH

Keluasan SK IPG Kampus Dato Razali Ismail ialah seluas 26.61 hektar yang terletak di Mukim Batu Rakit.


              MOTO  DAN  SLOGAN SEKOAH


                  BENDERA SEKOLAH

                 

Warna jingga di tengah menunjukkan keilmuan yang sentiasa digunakan di dalam mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.Manakala warna ungu di kiri dan kanan menunjukkan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam menentukan kejayaan hidup di dunia dan akhirat.Bendera ini direka oleh Guru Besar sendiri iaitu En Mohamad Kabidi bin Mohamad bersama mantan GPK 1, En Saidi Japri bin Jasman

                       LENCANA SEKOLAH 













1.      Bentuk Asas.

Bentuk asas lencana ini adalah merupakan bentuk asas Batu Bersurat Terengganu.  Batu Bersurat Terengganu melambangkan bukti sejarah keilmuan Islam Terengganu. Ini membawa maksud, ilmu itu amat penting dan menjadi perkara pokok di dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Warna jingga pula merupakan warna koprat yang membawa maksud kemajuan. Kesimpulannya, bentuk asas batu bersurat berwarna jingga ini membawa maksud bahawa kita perlu terus berusaha dengan keilmuan yang tinggi untuk mencapai kemajuan di dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

2.      TS.

Tulisan TS bermakna  “Teaching School”. Ini merupakan tujuan utama sekolah ini ditubuhkan iaitu untuk mewujudkan satu PERKONGSIAN PINTAR antara Institut Pendidikan Guru dengan pihak sekolah. Sekolah akan dijadikan asas kepada pelajar-pelajar IPG untuk menimba pelbagai pengalaman sebenar tentang sekolah sebelum mereka ditempatkan di sekolah. Warna ungu pula merupakan warna sekunder (campuran). Ia membawa maksud kerjasama yang erat antara pihak sekolah dengan pihak lain seperti PIBG, JPN, KPM, orang perseorangan, organisasi, komuniti dan lain-lain lagi terutamanya IPG.TS juga membawa maksud “Towards Success”.

3.      SK IPG KAMPUS DATO’ RAZALI ISMAIL

Tulisan ini membawa maksud nama sekolah ini ialah SK Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail. 

4.      YAKIN GEMILANG

“Yakin Gemilang” merupakan cogankata sekolah.  Ia membawa maksud bahawa warga sekolah ini sentiasa yakin dengan kebolehan sendiri dan mampu untuk mencapai kegemilangan dalam apa jua bidang sama ada akademik, sahsiah mahu pun kokurikulum dan sebagainya.

Lencana sekolah ini hasil idea dan rekaan oleh mantan GPK 1 iaitu En Saidi Japri bin Jasman.


     LAGU SEKOLAH


PENERANGAN RINGKAS  OBJEKTIF TEACHING SCHOOL


Antara objektif penubuhan Teaching School adalah seperti berikut:-


1.      Menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar-pelajar di sekolah yang terlibat.

2.      Menghasilkan pembaharuan kepada sekolah dalam pengendalian pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

3.      Memperkukuhkan pengetahuan dan amalan pengajaran dan pembelajaran guru sekolah, bakal guru dan pensyarah melalui penyelidikan, percubaan, inkuiri, penilaian dan pelaksanaan program-program inovatif dan amalan-amalan bilik darjah yang berkesan.

4.      Menyediakan pengalaman klinikal yang perlu kepada bakal guru sebagai pemudahcara pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

5.  Melaksanakan penyelidikan pendidikan yang melibatkan guru, pelajar dan aktiviti sekolah untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran kepada semua pelajar di samping menambahkan lagi pemahaman bakal guru dan pendidikan guru terhadap amalan pendidikan.

6.      Menambah pengalaman guru pelatih terhadap suasana dan amalan di sekolah selain pengalaman semasa mengikuti praktikum yang diwajibkan.

     OBJEKTIF KAMPUS DATO' RAZALI ISMAIL


1.Membolehkan pelajar menguasai kemahiran asas dengan percuma.

2.Menggerakkan pelajar ke arah kecemerlangan berteraskan kejayaan akademik dan kokurikulum.

3.Meningkatkan kemampuan dan kebolehan pelajar seiring dengan kebolehan yang mereka perolehi.

4.Melaksanakan pendidikan seimbang di kalangan semua pelajar tanpa mengira golongan atau status.

5.Membantu pelajar menguasai kemahiran yang dipelajari dengan lebih berkesan ke arah kecemerlangan      

   akademik dan penyuburan sahsiah.